Saturday, January 15, 2011

Melahirkan Usahawan Remaja


Pada minggu ini, saya ingin mengalihkan perhatian kepada usaha kita melahirkan lebih ramai usahawan remaja, berumur antara 18 hingga 25 tahun. Pada pandangan saya, ia boleh berjaya jika dilatih secara hands on di sekolah. Kenapa saya katakan sekolah. Ia kerana ia adalah institusi terbaik melahirkan bakat-bakat usahawan.

Perkara ini mempunyai kaitan dengan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin bahawa kajian mereka menunjukkan tidak sampai tiga peratus graduan IPTA menceburi bidang perniagaan sebaik sahaja tamat pengajian. Saya tidak perlu mengulas situasi ini tetapi cukuplah kita simpulkan bahawa IPTA mempunyai pelbagai kemudahan khusus untuk melatih usahawan di kalangan graduan. Biarlah mereka sendiri menjawab keputusan segala usaha mereka.

Pada hemat saya, mungkin agaknya proses melahirkan usahawan itu bermula dari sekolah ibarat kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Bagi remaja Cina, mungkin rumah dan keluarga mereka sudah terdedah dengan persekitaran perniagaan. Kini, remaja berbangsa India juga tidak kurang berjinak-jinak dengan perniagaan sejak di bangku sekolah lagi. Kita pasti sering melihat remaja India menunggang motosikal memasarkan santan kelapa ke kedai-kedai. Walaupun masih di bangku sekolah, mereka akan bercakap tentang impian satu hari nanti untuk menjadi usahawan yang lebih berjaya.

Pendek kata, jika begitu 'tarbiyah' mereka, maka sudah pasti proses pembudayaan keusahawanan ini telah berakar umbi dalam diri remaja Cina dan India. Maka tidak hairan pada hari ini, seolah-olah sudah ada identiti perniagaan baru yang melibatkan remaja Cina sebagai usahawan membaiki telefon bimbit dan aksesori berkaitan di merata tempat. Manakala imej remaja India pula mengusahakan kedai gunting rambut.

Cuba perhatikan di setiap kawasan perumahan, mesti ada perniagaan kecil remaja Cina dan India yang difahamkan disokong oleh gerakan ekonomi komuniti dan parti politik dua kaum ini. Hal ini menjadikan kita tertanya-tanya di manakah identiti usahawan remaja Melayu? Ke manakah agenda parti-parti politik serta pertubuhan ekonomi Melayu?

Tanpa mempersoalkan isu itu semua, marilah kita membawa pendekatan baru iaitu azam untuk menjayakan misi melahirkan ramai usahawan remaja Melayu yang bermula secara serius dan terancang sejak di bangku sekolah. Satu tinjauan yang saya lakukan terhadap usahawan remaja ini membuktikan bahawa mereka yang terdedah dengan aktiviti keusahawanan di sekolah terutama mereka yang menguasai latihan vokasional mempunyai keupayaan yang tinggi untuk menjadi usahawan sebaik sahaja habis persekolahan.Ini bermakna pendidikan dan tarbiyah di sekolah sangat berkesan untuk membentuk generasi usahawan remaja ini.

Namun bagaimanakah caranya untuk mengimbangi keperluan akademik dan pendidikan perniagaan secara praktikal? Dalam masa yang sama juga mengurangkan beban guru dan kekangan di sekolah? Jawapan terbaiknya adalah dengan menggunakan segala keupayaan sedia ada tetapi dimaksimumkan fungsi dan aktivitinya.

Saya melihat beberapa aktiviti sekolah seperti koperasi sekolah, kelab usahawan, hari usahawan, kedai buku, kantin dan macam-macam aktiviti taqwim sekolah sepatutnya menjadi gelanggang usahawan pelajar sekolah.

Koperasi sekolah misalnya telah melahirkan tokoh perniagaan yang tidak kurang hebatnya. Cuma skop pendidikan koperasi hendaklah ditingkatkan untuk menambah aktiviti perniagaan yang melibatkan pelajar. Jika sebelum ini, guru koperasi memainkan peranan aktif menguruskan koperasi, maka berilah lebih banyak ruang untuk pelajar terlibat dan cukuplah guru sebagai pembimbing sepenuhnya.

Koperasi mungkin boleh menjadi medan jual beli keperluan warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat untuk menyokong pendidikan perniagaan secara amali di sekolah.

Manakala sekolah yang mempunyai pelajar kurang cemerlang tetapi boleh ditonjolkan dengan aktiviti vokasional boleh terlibat menggunakan kemudahan sekolah secara sistematik menghasilkan produk seperti pemprosesan makanan. Selain dijual di sekolah, mungkin pihak kantin, ibu bapa dan masyarakat setempat berminat menjadi pelanggan.

Pernah seorang pengetua memberitahu saya bahawa beliau agak pening dengan pelajar-pelajar yang tidak berminat belajar tetapi berbakat berniaga mi goreng selepas waktu sekolah hanya beberapa meter dari kawasan sekolahnya. Beliau berhasrat untuk mengajar masakan supaya masalah disiplin dan keciciran mereka dapat dikurangkan tetapi sayang sekolah mereka tidak mempunyai guru terlatih walaupun kemudahan memasak tersebut ada. Katanya, dapur-dapur canggih itu tersimpan di setor sekolah.

Justeru, saya mencadangkan supaya kerjasama dijalin dengan usahawan dari luar kerana hanya usahawan memahami dunia keusahawanan yang sebenar. Perkongsian dan bimbingan usahawan akan memantapkan proses pembinaan karakter usahawan.

Seperkara lagi, aktiviti keusahawanan bukanlah semata-mata bermusim sekadar untuk suka-suka kerana mengisi masa penghujung sesi persekolahan. Pada masa ini, aktiviti yang sering kita dengar adalah hari kantin dan hari usahawan yang kadangkala sekadar pelajar membawa barang jualan yang diserahkan kepada sekolah untuk dijual dan hasil jualan selalunya didermakan terus sepenuhnya kepada sekolah. Kadangkala untung rugi jualan tidak diketahui pelajar.

Oleh itu, pembudayaan keusahawanan boleh dilaksanakan di sekolah secara lebih sistematik dan berterusan. Proses sedemikian akan menarik minat dan menyerap dalam diri mereka jika mereka dapat merasai setiap sen yang diniagakan. Walaupun kecil keuntungannya, bakat dan titik peluh yang diberikan peluang oleh sekolah akan memberi kepuasan kepada mereka sehingga menjadikan keusahawanan sebati dalam diri mereka.

Kita mungkin tidak menyasarkan ramai tetapi bayangkan jika setiap sekolah melahirkan 10 usahawan remaja cemerlang setiap tahun. Setahu saya, ada beribu sekolah seluruh negara. Akan terjadilah seperti seruan bekas Presiden Indonesia, Sukarno:

"Berikan kepadaku 10 orang belia berilmu. Bukan sekadar rantau ini, bahkan seantero dunia bisa kugegarkan!".

Itulah ibarat keupayaan usahawan remaja Malaysia yang bakal menggegarkan dunia keusahawanan pada masa depan. Siapa tahu!

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)